Header Ads

Zizan Nafi Bercinta Dengan Juliana Evans


Pelawak, pelakon dan pengacara popular Zizan buat pertama kalinya memberi kenyataan bahawa dia dan Juliana Evans tidak pernah bercinta seperti dalam gosip yang banyak disiarkan melalui media massa sejak kebelakangan ini.
Menurut finalis pertandingan Maharaja Lawak itu, gosip hubungannya dengan Juliana itu timbul sejak mereka mula menjalani penggambaran filem Hantu Bonceng arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri pada tahun lalu.
“Bagus juga apabila ada wartawan yang bertanyakan saya tentang gosip itu. Selama ini gosip itu ditulis tanpa mendapatkan pengesahan daripada saya. Di sini saya ingin menegaskan saya dan Juliana tiada apa-apa hubungan.
“Kami tidak pernah bercinta. Kami hanya berkawan baik sahaja. Mungkin sewaktu di lokasi penggambaran filem itu kami kelihatan mesra hingga timbulnya gosip itu,” katanya pada sidang akhbar sebelum pratonton Hantu Bonceng di pawagam Odeon di sini semalam.
Kata selebriti berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu ini, dia bukan sahaja tidak pernah bercinta dengan pelakon jelita kacukan Melayu dan Inggeris itu, malah mereka juga jarang berjumpa selepas tamatnya penggambaran Hantu Bonceng.
Bagaimanapun, tambah Zizan hubungan yang dijalin dengan Juliana sewaktu mereka berlakon bersama-sama dalam filem itu terus berkekalan sehingga ke hari ini.

“Selepas itu saya jarang berjumpa dengan Juliana di mana kami hanya berhubung melalui telefon. Kalau diberi pilihan untuk bercinta dan berkawan, saya pilih untuk berkawan dengan Juliana. Ini kerana, dia seorang yang berfikiran terbuka.


“Saya senang bekerja dengan orang seperti Juliana kerana dia lebih matang daripada usianya. Apatah lagi, Hantu Bonceng adalah filem pertama lakonan saya bersama Juliana,”
ujarnya yang melakonkan watak Amran dalam filem itu.
Sementara itu, Juliana sewaktu ditemui selepas itu turut tidak menafikan bahawa dia dan Zizan hanya berkawan baik sahaja di mana gosip hubungan cinta di lokasi atau lebih dikenali sebagai ‘cinlok’ (cinta lokasi) adalah perkara biasa.
“Saya dan Zizan cuma berkawan biasa sahaja. Kami berdua tiada masalah bergandingan sepanjang penggambaran filem ini. Kami gembira berlakon bersama dan kemesraan itu mungkin telah disalah anggap oleh pihak lain,” komennya.
Hantu Bonceng yang menelan kos produksi dan promosi berjumlah RM1.5 juta itu akan ditayangkan di 80 pawagam seluruh negara mulai 30 Ogos ini dengan membariskan ramai pelakon popular antaranya Jue Aziz dan Cat Farish.

No comments

COmment

SUBSCRIBE NOW!!

Syed Territory
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.